Supaya hidangan sambal sedap paling penting untuk disediakan adalah stok cili. Untuk mudah dan sedap boleh ikut cara Nurul Ateekah yang berkongsi teknik membuat cili kisar warisan ibu mentua yang juga peniaga nasi berlauk serta pelbagai hidangan mi.
Paling menarik cili kisar ini dicampur sekali dengan bawang dan ramuan sambal lain supaya memudahkan kerja memasak. Nak masak ceduk saja. Ia juga boleh tahan selama sebulan.
Cili kisar ini diajar oleh mak mertua saya, yang juga dulu seorang peniaga nasi berlauk, pelbagai jenis mi di Singapura. Wangi aroma tumisan cili ini bila dimasak. Ia juga senang, mudah nak diguna bila-bila masa nak masak.
Bila dah ada cili kisar macam ini nak buat lauk jenis sambal, masak kicap, rendang, jenis goreng semua jadi mudah. Cili kisar ini boleh tahan selama 1 bulan, dan tidak berbau, ia juga kurang pedas.
Bahan-bahan:
150gram cili kering kerinting
2 labu bawang putih
5 biji bawng besar
2 cm halia
1 batang serai
1 cm kunyit
4 sudu besar minyak masak
Cara membuat:
1. Gunting cili kering dan rebuskan sehingga lembut.
2. Apabila sudah lembut, toskan airnya dan bilas cili yang telah direbus tadi (sebab cili kering kadang-kadang ada warna-warna hitam, serbuk-serbuk putih, kadang-kadang ulat pun ada.
3. Kupas bawang putih dan bawang merah dan potong bawang agar senang dikisar.
4. Masukkan ke semua bahan, kisar dengan sedikit air dan minyak. Kisar sehingga lumat.
(Letak minyak boleh membantu cili kisar tahan lama, tidak berbau dan bila kisar, cilinya tidak berbiji serta cilinya betul-betul hancur).
5. Simpan dalam bekas dan masukkan dalam peti sejuk.
Ini contoh saya masak sotong sambal mengggunakan cili kisar tadi. Ada sekali tip masa masak sambal sotong yang sedap.
1. Didihkan air, masukkan sotong, masak 4-5 minit. Angkat dan toskan sotong, saya guna 500 gram sotong.
2. Masukkan 1 senduk cili kisar tadi, masak sehingga pecah minyak dan sehingga cilinya masak. Waktu masak cili, memang bau tumisan harum saja.
3. Apabila sudah pecah minyak, masukkan sehelai daun limau purut dan 1 sudu perahan air asam jawa.
4. Masukkan gula, garam,serbuk belacan, dan kiub Knorr. Gaul sebati.
5. Masukkan sotong dan santan 2 sudu besar. Kenapa masukkan santan? Sebab nanti sambalnya akan rasa berlemak dan sedap.
6. Kacau dan angkat bila sambal masak elok.
Selamat mencuba!
Sumber: Nurul Ateekah