Dah siap masak lauk banyak-banyak, letak atas meja tutup dengan saji tapi bila nak makan tengok penuh dengan semut. Memang tension kan bila ada kejadian macam ni.
Itu belum bila semut masuk dalam bekas tempat simpan air, tempat gula dan segala bekas. Mulalah takde mood nak masak apatah lagi kalau dah macam-macam cara buat tapi semut tetap naik atas meja atau table top.
Kalau guna ubat halau semut atau petua lama tak menjadi, kita mungkin boleh ikut cara ini pula ya. Ia adalah cara kreatif yang dikongsi netizen dalam media sosial. Tak susah pun untuk praktik.
Guna stoking lama
Caranya hanya guna stokin lama dan juga penyembur halau serangga.
1. Mula-mula cari stokin lama yang kita dan tak pakai.
2. Kemudian potong empat, lebar dalam dua inci macam tu. Kalau kaki meja enam, potong enam.
3. Sarungkan stokin yang dipotong pada kaki meja, seterusnya semburlah dengan Ridsect atau Baygon. Spray keliling stoking untuk kesan yang lebih efektif.
4. Bolehlah tengok hasilnya, bukan setakat semut, lipas, malah cicak pun tak nak panjat meja makan. Selamat mencuba.
Kredit: petuaoranglama
Tip Simpan Udang Supaya Kekal Segar, Manis & Pejal Macam Baru Beli
Beli udang mahal-mahal kemudian simpan dalam peti tapi lepas seminggu tengok dah pun lembik dan hitam.
Ini antara masalah bila nak menyimpan stok makanan laut terutamanya udang.
Tapi ada tip yang boleh dipraktikkan untuk memastikan udang yang disimpan kekal segar, manis dan tidak berubah jadi warna hitam malah teksturnya pun masih pejal seperti baru dibeli. Tip ini dikongsi oleh Noor Hafiza Mohamad.
Tip simpan udang supaya kekal segar, tabur gula!
Ada pelbagai petua untuk simpan seafood antaranya rendam dalam air dan frozenkan.
Tapi ada satu lagi cara mudah yang boleh dipraktikkan. Caranya tabur gula!
Udang contohnya paling cepat jadi hitam dan lembik selepas kita keluarkan dari peti sejuk beku.
Untuk elakkannya, selepas masukkan udang dalam bekas tabur gula di atasnya. Kemudian barulah disimpan dalam freezer (ruang sejuk beku).
Udang yang disimpan tak perlu dicuci dulu ya untuk kekalkan kesegarannya. Sama juga dengan ikan, sotong dan ketam.
Ini keadaan udang setelah lebih 2 minggu, tekstur udang masih sama macam baru beli.
Bagi ketam dan sotong pula, simpan macam biasa saja tapi pastikan dalam bekas supaya tak bertindih.
Selamat mencuba!
Sumber: Noor Hafiza Mohamad
10 Tip Penjagaan Anak Berkhatan Supaya Tak Bentan & Luka Cepat Sembuh
Musim cuti sekolah ni ramailah anak-anak lelaki yang berkhatan. Ibu bapa pun ramai yang mengambil cuti untuk menjaga anak.
Bagi ibu bapa yang kali pertama menjaga anak yang berkhatan mungkin sedikit keliru dengan bermacam-macam tip yang dikongsi, tambah saspen bila ada yang bercerita tentang anak bentan lepas khatan jika tidak dijaga dengan betul.
Walau ada macam-macam tip yang didengar paling elok ambil dari pakar. Ibu bapa boleh ikut tip yang diberikan oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan ini tentang cara penjagaan yang betul agar luka khatan tak bernanah dan anak cepat sembuh.
Sekarang ni musim berkhatan, ramai ibu bapa mohon saya tips penjagaan selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.
Jadi hari ni saya nak beri sedikit penerangan tentang penjagaan luka selepas berkhatan.
1.Jangan biar lebih 72 jam
Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
– Jangkitan/nanah
– Bengkak/bentan
– Jahitan terbuka
– Keruping melekat pada balutan
2. Cuci 2-3 hari sekali
Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
– Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
– Cuci luka dengan normal saline
– Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
– Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda.
3. Ubat doktor
Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
– Tahan sakit: diambil bila perlu
– Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
– Ubat cucian: lazimnya normal saline
– Elak sapu minyak/herba pada luka
4. Jika anak mengadu ngilu
Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
5. Pakaian longgar
Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
6. Boleh berjalan
Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
7. Pastikan minum air secukupnya
Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
8. Jaga pengambilan makanan
Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
9. Luka akan sembuh 10-14 hari
Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor:
– Sakit/bengkak melampau
– Nanah yang banyak
– Demam tinggi
– Tak boleh kencing
10. Bawa untuk rawatan susulan
Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
– Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
– Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
– Gam: tak perlu jumpa doktor semula
– Mesih jahit: perlu jumpa tukang jahit.
OK, yang last tu bergurau je. Jangan kau minta tukang jahit jahitkan cara tulang belut, mata lalat apa semua.
Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor Komuniti FB Anda
Cara Buat Kuih Lapis Guna Sukatan Cawan Lebih Mudah. Confirm Menjadi
Kuih lapis ini ramai peminatnya, budak-budak pun suka. Boleh makan waktu pagi dan juga petang.
Nampak macam remeh nak buat tapi sebenarnya mudah saja, nak lagi senang ikut sukatan cawan. Gerenti jadi.
Boleh ikut resipi ini yang dikongsi oleh Shameema Ahamed ini, katanya sudah banyak kali membuat kuih ini guna resipi yang sama dan ia tak pernah mengecewakan.
Buat kuih lapis guna sukatan cawan lagi mudah
Bahan-bahan:
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung
1 cawan gula (nak lebih manis tambah 1/4 cawan lagi ke dalam adunan)
1 sudu kecil garam
1 cawan santan pekat (saya guna santan kotak)
1/2 cawan susu cair (saya guna santan cair)
3 cawan air
Pewarna ikut cita rasa
Cara membuat
1. Mula-mula, panaskan periuk pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci. Sementara itu sapukan sedikit minyak pada loyang.
2. Satukan santan, susu cair, air, gula dan garam. Kacau perlahan-lahan sampai larut.
3. Kemudian ambil 3 jenis tepung tadi, masukkan ke dalam bancuhan santan tadi. Kacau sebati kemudian tapis ke dalam bekas lain.
4. Bahagikan adunan yang ditapis kepada 2 atau 3 bahagian ikut warna yang mahu digunakan. Bahagikan sama rata. Boleh guna senduk.
5. Kemudian titiskan warna pada adunan yang dah dibahagikan tadi.
6. Dah boleh mula kukus, letak loyang ke dalam pengukus dan tuang adunan untuk lapisan pertama. Pastikan penutup periuk dialas dengan kain supaya air tak menitis.
7. Kukus selama 5 minit setiap lapisan, guna api yang kuat. Kemudian boleh buat lapisan kedua dan seterusnya.
8. Untuk lapisan terakhir, lebihkan masa sedikit. Kukus sekejap selama 15 minit.
9. Sejukkan sebelum dipotong. Potong guna pisau plastik.
Selamat mencuba
Sumber: Shameema Ahamed & Naz Reen