Tip Pilih Awning Untuk Kediaman, Ada 9 Jenis. Boleh Guna Info Ini Untuk Buat Pilihan

Share

Cuaca di negara kita yang selalu panas berserta hujan menyebabkan ramai yang memilih menambah awning di kediaman sama ada di depan atau belakang rumah. Mudah untuk letak kereta atau jemur baju.

Cuma sekarang ada banyak jenis awning atau sengkuap yang tersedia menyebabkan kita keliru memilih mana satu yang terbaik dan mengikut bajet. Bagi yang bercadang nak membina awning di rumah info yang dikongsi oleh Lee Wai Wan boleh dijadikan rujukan.

Info tentang sengkuap (Awning)

Sengkuap adalah merupakan atap yang dipasang di rusuk atau di belakang rumah (sebagai tambahan sahaja): malam hari, bukan tidur di lepau atau di dalam rumah (Kamus Dewan).
Sengkuap ini boleh dibuat menggunakan pelbagai jenis bahan bergantung pada bajet  serta selera tuan rumah. Berikut adalah jenis-jenis awning:-

1) Metal deck


Awning jenis ini adalah diperbuat menggunakan PPGI, Zincalume ataupun Aluzinc dengan ketebalan yang berlainan. Lagi tebal, lagi tahan lama serta tahan kemek apabila seseorang naik ke atas untuk kerja ataupun melakukan kerja penyelenggaraan seperti servis compressor pendingin hawa. Ia lebih bising apabila hujan. Sebaiknya dipasang satu keping panjang tanpa sambungan untuk elakkan bocor.

2) Clip Lock System

Ia diperbuat dari PPGI, Zincalume ataupun Alurzinc di mana ia tidak mempunyai sebarang skru di bahagian atas. Ia mempunyai klip yang terletak di bawahnya dan dipasang dengan meletak kepingan bumbung ini atas klip dan ia akan memegang bumbung itu dengan kukuh. Bumbung ini sesuai untuk kadar kecerunan yang rendah. Ia tidak sesuai untuk dibuat sambungan secara memanjang.

3) Polyurethane Foam Roof (PU Foam)

Ia mempunyai pelbagai jenis kombinasi seperti PU PVC, PU Metal serta PU Aluminium. Jenis ini kurang sikit bising semasa hujan berbanding dengan metal deck biasa.

4) Polycarbonate

Polycarbonate mempunyai 2 jenis iaitu jenis hollow dan solid. Ia diperbuat dari plastik. Jangka hayat polycarbonate adalah lebih kurang 5 tahun. Apabila ia mula rosak, ia akan reput disebabkan oleh kesan UV dan jatuh sedikit demi sedikit. Semasa petang, anda akan dengar bunyi klik klak sebab ia sedang mengembang dan mengecut. Ia mempunyai jenis yang panas dan ada juga jenis yang tidak terlalu panas.

5) Fibre simen (masih dipanggil Abestos walaupun tidak lagi guna bahan ini)

Ia adalah jenis bahan lama yang datang dalam kepingan yang besar. Kebaikannya adalah ia tidak bising semasa hujan tetapi apabila ditiup angin, ia akan terangkat sedikit demi sedikit kerana tukang menggunakan paku untuk memaku pada rangka kayu menyebabkan bahagian paku akan bocor. Perlu berhati-hati semasa berjalan di atasnya terutamanya bumbung yang telah lama dipasang. Ia rapuh dan silap pijak, akan jatuh ke bawah.

6) Corrugated Polycarbonate Transparent Roof Sheet

Kebiasaan digunakan apabila menginginkan kadar cahaya yang banyak. Sesuai sekiranya anda ingin menjadikannya tempat menyidai kain kerana ia amat panas. Cuma ia tidak tahan lama. Lebih kurang 3 tahun akan mula rapuh. Lagi teruk sekiranya terdapat kucing atau musang yang suka bersantai di atasnya, maka kemungkinan ia akan retak adalah lebih tinggi.

7) Kaca (skylight)

Kaca jenis tempered kebiasaan digunakan serta jenis yang double layer. Ia dipasang kerana Tuan rumah ingin menikmati kadar cahaya yang cukup, nampak lebih kelas serta boleh menikmati keadaan sekeliling yang indah. Kekurangannya adalah ia mudah kelihatan sekiranya terdapat kotoran di atasnya serta amat panas. Selain cahaya, ia juga akan menyebabkan kawasan di bawahnya panas.

8) Sun Shade

Ia boleh diperbuat dari pelbagai jenis bahan. Ada yang diperbuat dari kain dan ada yang diperbuat dari PU polyester. Ada jenis yang diikat pada cangkuk khas manakala ada jenis yang boleh dilipat menggunakan kawalan remote ataupun dipasang pada rangka khas. Cuma jenis ini akan berlubang di sana sini selepas satu ketika bergantung pada kualiti bahan yang digunakan.

9) Aluminium Composite Panel (ACP)

ACP diperbuat dari kepingan Aluminium dan dibahagian tengahnya adalah low density polythene. Ia tahan dengan keadaan cuaca. Ia tidak sebising seperti Metal deck semasa hujan.

NOTA: Dalam semua jenis sengkuap yang dipasang, sering kali kami jumpa satu masalah yang sama iaitu masalah bocor di bahagian sambungan di antara dinding dengan awning kerana tidak diletak sebarang flashing tetapi hanya letak silikon ataupun jika letak pun hanyalah paku pada dinding dan letak silikon.

Published by
VK