Tip Pilih Ketam Yang Segar, Manis & Banyak Isi. Ikut 8 Tip Ini

Share

 

Siapa tak suka makan ketam kan. Tapi harganya mahal buat kita tak boleh makan selalu dan kalau nak beli kenalah pilih yang betul-betul elok dan penuh isi. Barulah berbaloi dengan harga.

Bagi yang tak tahu cara nak pilih ketam yang segar, manis, penuh isi ini cara yang dikongsi oleh Penjual Makanan Laut sendiri, yang boleh dijadikan panduan ketika membeli ketam.

1. Beli waktu ini

Jika ingin membeli ketam, belilah ketam di waktu selepas bulan mengambang penuh, kerana pada waktu ini isi ketam lebih padat dan banyak. Nampak seperti tidak logik, tapi percayalah memang ada perbezaannya.

2. Tengok cengkerang

Jika beli ketam, terutama ketam bunga yang bermacam jenis, lihat pada warna cengkerangnya, terutama bahagian atas dan juga pada sepit. Andai ada warna kebiruan, ia menandakan ketam itu masih segar.

3. Pilih yang berat

Pilih ketam yang lebih berat daripada yang lain, timbang dengan tangan anda. Ketam lebih berat daripada yang lain menunjukkan isinya padat. timang-timang sikit ketam tu, untuk mengagak berat ketam.

4. Belek belakang ketam

Ketam boleh juga diketahui kesegaran dengan lihat belakang ketam. Bentuk tiga segi dekat belakang, jika masih kuat melekap, ia adalah ketam segar.

Mahu lebih yakin lagi, tekanlah pada bahagian tiga segi yang terdapat di belakang badan ketam. Jika ia terlalu lembut dan mudah ditekan, itu bermakna ketam tersebut telah pun lama. Sebaiknya pilihlah yang masih keras dan susah untuk ditekan.

5. Ada bau laut

Bau mestilah ada bau laut, kalau dah ada bau hanyir yang kuat tu.Faham-faham aje la ehh.

6. Cukup anggota

Ketam haruslah masih cukup sifat . Contohnya, kaki ketam masih kuat melekat pada badan dan mata ketam mesti ada lagi.Ini menunjukkan ia masih segar dari laut.

7. Pilih ketam betina

Jika berpeluang untuk memilih, pilihlah ketam betina. Ini kerana ketam betina ni, ada telur dan selalunya ketam betina lebih banyak isi.

Panduan seterusnya ialah, lihat bahagian bawah badan ketam betina. Jika ada selonggok telur di luar badan, ha…itu petanda ketam tersebut banyak telur. Kena ambil yang tu. Memang puas hati makan.

Cara memilih ketam betina ialah dengan melihat pada bahagian belakang badan ketam yang selalunya lebih lebar, bulat dan bukan tirus. Ketam betina badan agak bulat dan sepit yang ada adalah lebih pendek dan kecil berbanding ketam jantan yang mempunyai sepit lebih besar. Dari segi warna, ketam betina warna agak kelabu-coklat, berbanding ketam jantan putih-kebiruan.

8. Bersih tiada tompok

Bahagian bawah ketam yang segar selalunya putih bersih, kalau ada tompok-tompok atau warna selain putih, ia sudah agak kurang segar.

Published by
VK