Tip Tanam Pokok Rambutan Supaya Cepat Berbuah, Buat Begini Sebelum & Selepas Tanam

Share

Buah rambutan memang kegemaran kebanyakan kita, sebab itu kalau di kampung setiap rumah pasti ada sepokok. Supaya bila tiba musimnya puas hati makan.

Jika berhasrat nak menanam sepokok dua di rumah sebaiknya ikut panduan berikut dari Adam LHK Farm supaya pokok rambutan cepat berbuah.

1. Jika ingin tanam pokok rambutan sebaiknya beli anak pokok rambutan hasil cantuman mata tunas atau rambutan kahwin. Pokok jenis ini akan lebih cepat berbuah, antara 3-4 tahun sudah boleh merasa hasilnya.

Boleh juga nak tanam menggunakan biji benih tapi pokok akan mengambil masa lebih 8 tahun untuk berbuah.

Selain itu ketika beli anak benih pastikan pilih yang banyak cabang.

2. Untuk menanaman anak pokok, gali lubang lebih kurang satu kaki. Kemudian tabur penggalak akar.

3. Masukkan sedikit tanah dalam lubang, letakkan anak pokok rambutan di tengah lubang. Buang plastik polibeg tapi kekalkan tanah asal. Jangan leraikan.

4. Kemudian masukkan tanah sekelilingnya. Pastikan tanah sekeliling anak pokok sama dengan tanah polibeg, jangan terlalu tinggi atau rendah.

5. Tinggikan sedikit tanah sekeliling anak pokok supaya bila siram, airnya tertumpu kepada pokok saja.

6. Selepas tanam, terus siram dan lakukan siraman untuk hari seterusnya. Sebaiknya tanam pokok rambutan pada musim hujan supaya pokok tidak terlalu panas dan mati.

Supaya buah lebat

Bagi tujuan untuk mengalakkan pengeluaran buah rambutan yang banyak dan lebat sebaiknya kerja penyelenggaraan perlu dilakukan seperti memangkas, membaja, kawalan penyakit dan perosak.

Pemangkasan perlu dilakukan pada usia 2 tahun. Bahagian yang dipangkas adalah hujung cabang. Ini bertujuan untuk mendapatkan pertumbuhan yang seimbang.

Pemangkasan juga perlu dilakukan selepas masa tuaian berakhir supaya muncul cabang baru di mana bunga baru akan muncul pada musim selepasnya dan hasil berikutnya dapat meningkat.

Cara baja pokok rambutan

Proses pembajaan baja tumbesaran iaitu NPK Hijau 15:15:15 hanya perlu diberikan kepada pokok mengikut kadar tertentu pada peringkat umur 1 tahun hingga 3 tahun dengan kekerapan 4 kali setahun.

Manakala baja buah iaitu NPK Biru 12;12:17:2 pula, ianya perlu di tabur di keliling kanopi pokok pada peringkat umur 4 tahun dan keatas dengan kekerapan 3 kali setahun. Selepas habis musim buah sebaiknya baja organik dan baja buah perlu di tabur untuk mengantikan baja yang telah hilang.

Sumber : ADAM LHK FARM

Published by
VK