Makan

Tuang Minyak Sapi, Rahsia Masak Kurma Jadi Lebih Sedap. Boleh Guna Untuk Ayam Atau Daging

Share

Selain gulai, sambal atau sup masakan kurma juga jadi kegemaran ramai kita bila masak ayam atau daging. Kuah yang pekat dengan aroma rempah memang menyelerakan hingga tak perlukan banyak lauk lain jika menghidangkan masakan kurma ini.

Bagi yang suka menyediakan hidangan kurma baik ayam atau daging, petua atau tip yang dikongsi oleh Syed Mohd Nazli Jamalullail

kena praktikkan bagi memastikan hasil lauk kurma lebih lazat. Caranya tuang minyak sapi.

Petua khas untuk masak kurma sama ada ayam atau daging

1. Tumis menggunakan minyak sapi, bawang besar, hirisan halia, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga garing kekuningan.

2. Masukkan serbuk rempah kurma yang telah digaul bersama air, daging/ayam,kerisik, tomato, bawang putih/merah yang telah dikisar dan buah keras serta jintan yang telah ditumbuk.

3. Tutup periuk, masak dengan api kecil sehingga pecah minyak. Tutup periuk itu bertujuan supaya aromanya tak hilang dan daging/ayam akan cepat lembut. Tapi awas, jangan biarkan ramuan rempah hangit! Air pun kena pandai agak ya.

4. Bila daging/ayam dah hampir lembut, masukkan kentang, tunggu sehingga lembut. Kemudian masukkan santan, biarkan sehingga menggelegak.

5. Masukkan cili merah potong tengah dan bawang besar potong empat dan garam.

6. Petua penting agar masakan kurma lebih sedap ialah setelah selesai masak, tuang sedikit minyak sapi mentah ke dalam kuah kurma. Inilah yang akan menambahkan kelazatan masakan kurma itu. Ikut langkah ini,saya yakin lauk kurma akan sedap.

Selamat mencuba

Sumber: Syed Mohd Nazli Syed Ahmad

 

Published by
VK