Bermula daripada Korea, kini hampir seluruh dunia sedang trending dengan video ‘tadah dagu’ atau sebenarnya dikenali sebagai aksi ‘count on me challenge.’
Trend yang simbolik kepada persahabatan dan juga kasih sayang ini tidak terkecuali sampai di negara kita. Antara selebriti yang turut terjebak melakukannya adalah pelawak Achey dan isteri.
Tapi video itu tak boleh menandingi kecomelan pasangan anak dan ayah yang melakukan video ‘count on me challenge.’
Dimuat naik oleh Siti Erma Mohd Yunus di akaun Facebook miliknya, video yang dilakukan bersama dengan ayahnya, Mohd Yunus Haji Hussien secara suka-suka itu itu tanpa disangka tular di media sosial.
‘Comel dan abah lucu’ itulah reaksi kebanyakan netizen yang menonton video ini. Malah ramai juga yang kagum dengan sikap sporting bapa Erma meskipun sudah berusia 72 tahun.
“Abah memang lucu, kami adik beradik memang dah faham. Dan dia juga sporting melayan kerenah anak-anak dan cucu, sebab itu dia ok jer bila diajak melakukan aksi ‘count on me challenge’ ini,” ujar Siti Erma.
Ceritanya idea untuk membuat video itu tercetus bila dia melihat selebriti Achey dan isteri melakukannya.
“Bila saya tengok video Achey dan isteri serta video dari Korea buat ‘count on me challenge’ saya rasa ia cute sangat. Jadi saya dapat idea nak buat juga dengan abah dan mama saya.
“Abah pula ikut saja bila saja ajak dia buat video ni dan abah sendiri pun suka bila tengok video ni yang kami buat dalam masa dua hari,” ujarnya yang turut memuatkan aksi ibunya Zahirah binti Awang dalam video tersebut.
Kata Siti Erma lagi ayahnya tidak mengetahui video itu viral sehingga dia memberitahunya malah berasa pelik mengapa ia boleh viral.
“Abah memang tak tahu pun video dia dah viral sampailah saya beritahu dan abah pun pelik kenapa boleh jadi macam tu. Bila saya tunjukkan video Achey pada abah barulah dia faham rupanya apa yang dia buat itu sebenarnya sedang trending.
“Saya sendiri tak sangka video ini boleh viral begitu juga abang dan kakak termasuk ahli keluarga yang lain. Maklumlah saya buat untuk suka-suka saja,”ceritanya.
Jelas Siti Erma lagi walaupun ayahnya kelihatan lucu dan sporting tapi dia sebenarnya tegas dalam hal mendidik.
“Allhamdullilah saya bersyukur sebab ada abah yang sangat memahami setiap perangai anak-anak, abah tegas dalam mendidik tapi dalam tegas abah tetap sporting melayan kerenah anak dan cucu. Kalau lihat cara abah melayan cucu kadang-kadang saya sendiri pun boleh jeles,”beritahunya lagi.
Namun begitu kata Siti Erma terdetik juga rasa bersalah bila memuat naik video tersebut terutama bila membaca komen-komen netizen yang berasa sedih kerana ada kalangan mereka tidak lagi dapat merasa kemesraan bersama ayah seperti yang dirasainya.
“Bila saya post video ini, di ruangan komen ramai juga yang berasa sedih sebab tak dapat lagi merasa kasih sayang dari bapa seperti yang saya rasa kerana ketiadaan ayah ibu. Terdetik juga rasa bersalah bila baca komen sebegitu,”ujar Siti Erma anak bongsu dari tujuh adik beradik ini.
-vanillakismis