Walau Untung Berniaga Sikit Tapi 8 ‘Ilmu’ Ini Mampu Buat Wanita Pantai Timur Bersara Tenang

Share

 

 

Rasanya ramai kalangan kita maklum kaum wanita Pantai Timur memang suka berniaga. Pergilah ke pasar-pasar di negeri Cik Siti Wan Kembang ini rata-rata merekalah yang berjualan.

Malah ramai juga ‘mek-mek Kelate’ ini menjadi usahawan berjaya serta terkenal. Namun hebat macam mana pun wanita di negeri ini dalam bisnes, ia belum tentu dapat menjamin kehidupan selesa bila memasuki usia emas.

Sebabnya kita tak mampu menjangka apa yang berlaku pada masa depan. Hari ini mungkin berniaga laris, esok lusa keadaannya kita tak tahu.

Tapi kalau wanita Pantai Timur ini celik ilmu kewangan insya-Allah bila memasuki usia emas kehidupan terus selesa dan tenang. Nah! Ini ilmu kewangan yang perlu dipraktik khas untuk peniaga wanita di sana!

1. Menabung persediaan utama

Jika berhasrat bersara tenang kenalah ada persediaan awal. Paling utama kena buat tabungan. Untung berniaga perlu diasingkan khusus untuk tabungan hari tua. Walaupun sedikit kena ada!

Ikut kajian wanita lebih cenderung mengalami masalah kesihatan pada 10 tahun terakhir kehidupan mereka. Lebih menakutkan menurut satu laporan akhbar, di Kelantan saja lebih separuh daripada rakyatnya yang berusia 18 tahun ke atas menghadapi masalah berat badan dan obesiti.

Seperti yang kita maklum masalah obesiti ini boleh membawa kepada penyakit kritikal iaitu jantung, darah tinggi, kencing manis malah strok.

Tabungan inilah yang akan kita gunakan jika terpaksa bersara awal dek kerana penyakit ini. Salah satu cara menabung untuk persaraan yang paling berkesan adalah melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

2. Buat simpanan jangka masa pendek dan panjang

Di samping menyimpan di KWSP untuk hari tua, wajib juga buat simpanan jangka masa pendek. Setiap bulan simpan sejumlah wang untuk menghadapi waktu-waktu kecemasan yang tidak kita jangka contohnya kemalangan ataupun masalah keluarga. Simpanan begini boleh saja di buat di mana-mana bank.

3. Rancang strategi kewangan sendiri

Salah satu kesilapan usahawan wanita adalah bila bisnes untung banyak maka banyak juga perbelanjaan untuk perkara yang tak sepatutnya. Kawal nafsu untuk membeli belah walaupun kita mampu ketika itu. Bukan bermakna tidak boleh berbelanja tapi berpada-padalah, berbelanjalah pada perkara yang perlu saja.

4.Strategi kewangan syarikat/perniagaan kena ada

Walau sekecil mana pun perniagaan yang diusahakan mereka hatta jual tudung di pasar malam sekali pun, peniaga wanita perlu rancang strategi kewangan.
Asingkan antara perbelanjaan peribadi dan bisnes, rekod semua perbelanjaan dan juga jualan yang dibuat supaya kewangan sistematik. Kalau ada pekerja sisihkan juga untuk caruman mereka di KWSP. Jangan ingat senang kita di hari tua saja!

5. Awas bila buat pinjaman peribadi

Ketika memulakan bisnes ramai yang membuat pinjaman dengan institusi perbankan sebagai modal atau boleh jadi untuk kembangkan perniagaan. Apa pun tujuannya rancang dan telitikan strategi pembayaran.

Pastikan pinjaman itu selesai dibayar sebelum memasuki usia persaraan supaya dapatlah kita menghabiskan usia emas dengan tenang, bukan masih bertungkus lumus mencari jalan membayar hutang.

6. Sibuk berniaga, kesihatan jangan lupa

Peniaga wanita Kelantan ini bukan saja usahawan rata-ratanya juga adalah ibu dan isteri yang mempunyai keluarga untuk dijaga.
Ahli keluarga banyak bergantung pada kita, lantaran itu kesihatan diri perlu dititik berat. Walaupun sibuk berniaga sentiasa jaga pemakanan. Ambil makanan kurang lemak dan luangkanlah masa bersenam.

7. Letak penama

Ramai yang terlupa bab ini. Simpanan di KWSP ada banyak begitu juga di bank tapi lupa untuk membuat penamaan atau hibah. Supaya tak berlaku konflik kemudian hari antara ahli keluarga tentang simpanan ini eloklah segerakan perkara urusan ini.

8. Kalau sihat teruslah produktif walau bersara

Ramai wanita terutama mak-mak yang menyasarkan untuk berhenti berniaga atau pun bekerja bila usia dah tua. Nak relaks katanya.

Tapi kalau anak sudah dewasa, kesihatan mengizinkan, badan pun masih bertenaga tak salah untuk meneruskannya. Sekurang-kurangnya pendapatan terus terjamin pada usia tua.

9. Ada lagi…

Apa yang disenaraikan di atas sebenarnya hanyalah sebahagian daripada ilmu kewangan yang wajib diketahui oleh para peniaga-peniaga wanita di Pantai Timur.
Jika dahagakan lebih banyak ilmu silakan hadir di Kempen Celik Kewangan KWSP Pantai Timur yang akan berlangsung 22 September 2018 di Kota Baharu dan 29 September 2018 di Kuala Terengganu.

 

 

 

 

 

 

 

Published by
VK